Ketegangan antara MANDIRI dan kepimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) semakin memuncak apabila Mandiri mengesahkan tindakan saman terhadap Ketua AMK, Kamil Munim susulan dakwaan mengaitkan organisasi itu dengan penerimaan dana asing dan operasi propaganda politik.

Dalam satu kenyataan media bertarikh 18 Mei 2026, Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hadi berkata pihaknya telah mengarahkan peguam memulakan proses undang-undang terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Kamil pada 17 Mei lalu.
Menurut beliau, kenyataan tersebut mengandungi dakwaan serius termasuk mengaitkan Mandiri dengan penerimaan dana asing, operasi tentera siber, percaturan naratif politik domestik, ancaman keselamatan negara serta bertindak sebagai proksi kepada kuasa asing.
Amir turut mendakwa bahawa Kamil telah menyebut mengenai tujuh transaksi berjumlah RM686,729 yang dikatakan dibuat kepada Pengarah Eksekutif Mandiri serta beberapa individu lain yang dikaitkan dengan organisasi itu.
“Mandiri telah menghantar surat tuntutan (LOD) bertarikh 18 Mei 2026 melalui emel kepada beliau, manakala serahan tangan akan dibuat pada pagi 19 Mei 2026,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Mandiri memberi tempoh 48 jam kepada Kamil Munim untuk menjawab tuntutan itu serta membuat permohonan maaf secara terbuka dan berhadapan. Jika gagal, tindakan saman sebanyak RM10 juta akan diteruskan.
Dalam masa sama, Mandiri memberi amaran bahawa pihaknya akan terus memantau akaun media sosial atau mana-mana pihak yang mengulangi tuduhan sama, dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya dakwaan tersebut terus disebarkan.
Kenyataan itu turut diakhiri dengan slogan tegas: “Semakin ditekan, semakin melawan!”
