SEREMBAN, 20 Mei – Aminuddin Harun tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan diadakan pada tahun ini, namun keputusan muktamad bergantung kepada keadaan semasa dan kesesuaian politik ketika itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, Seremban pada Rabu.
Menurut beliau, beberapa faktor masih perlu dipertimbangkan termasuk kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) yang semakin hampir selain perkembangan politik di negeri jiran seperti Melaka dan Johor.
“Kita tengoklah keadaan. Kita rasa Pilihan Raya Umum pun dah dekat. Tapi saya tak menolak kemungkinan PRN tahun ini, kemungkinan tahun depan… Insya-ALLAH.
“Saya pun rasa cantik diadakan sekarang atau cantik akan datang… semua cantik,” katanya secara berseloroh pada sidang akhbar tersebut.
Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan berkata, pihaknya turut mengambil kira pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka dan Johor yang dijangka berlaku lebih awal berbanding negeri lain.
Beliau turut membayangkan kemungkinan Negeri Sembilan mengadakan PRN serentak bersama dua negeri berkenaan sekiranya keadaan sesuai.
“Kita tengoklah kesesuaian, rakan-rakan jiran kita bila mereka adakan pilihan raya. Mungkin kita sekalikan saja dan itu antara yang kita akan timbang,” katanya.
Mengulas sama ada PH Negeri Sembilan akan bertanding secara solo pada PRN akan datang, beliau menjelaskan bahawa keputusan berhubung kerjasama politik akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti di peringkat tertinggi. – Sinar Harian
