ISU SEMASA
Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ditangguh Susulan Pertikaian Keabsahan Takhta Negeri Sembilan

1–2 minutes

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang dijadual berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dilaporkan ditangguhkan susulan ketidaktentuan berhubung individu yang sepatutnya mempengerusikan mesyuarat berkenaan, iaitu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Munawir.

Menurut laporan The Straits Times (ST) Singapura, penangguhan tersebut dipercayai berkait dengan kemelut Istana Negeri Sembilan yang masih belum selesai dan kini berada dalam proses mahkamah.

Tuanku Muhriz sebelum ini dijadual mengambil alih tugas sebagai pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja secara giliran. Namun, pertikaian berhubung kedudukan baginda dipercayai menimbulkan persoalan mengenai kesesuaian meneruskan mesyuarat seperti dirancang.

Jurucakap Istana Negara mengesahkan mesyuarat yang sepatutnya berlangsung pada 23 hingga 25 Jun itu ditangguhkan, namun tidak menjelaskan punca penangguhan.

Penangguhan berkenaan dianggap luar biasa memandangkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja jarang dibatalkan. Kali terakhir mesyuarat itu tidak berlangsung adalah pada 2021 ketika pandemik COVID-19.

Krisis Istana Negeri Sembilan tercetus selepas empat Undang Yang Empat mengambil tindakan menyingkirkan Tuanku Muhriz sebelum mengisytiharkan Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu pada 5 Jun lalu.

Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Sembilan masih mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah.

Pertikaian tersebut kini dibawa ke mahkamah selepas Mahkamah Tinggi Seremban mengeluarkan injunksi interim supaya status quo dikekalkan sehingga keputusan dibuat.

Pemerhati melihat penangguhan mesyuarat sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai mendahului keputusan mahkamah.

Perkembangan itu turut menimbulkan persoalan mengenai kesannya terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos depan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 5 Jun lalu.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada Majlis Raja-Raja atau Istana Negara yang mengesahkan krisis Istana Negeri Sembilan menjadi punca penangguhan mesyuarat tersebut.

Kongsi pada platform lain