ISU SEMASA
Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

ONN HAFIZ NAFI DAKWAAN PUAD, UMNO JOHOR AKAN BUAT LAPORAN POLIS

1–2 minutes

JOHOR BAHRU, 25 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa beliau pernah memaklumkan pembubaran Dewan Negeri Johor dibuat atas “arahan” pihak Istana.

Onn Hafiz menjelaskan bahawa pembubaran Dewan Negeri Johor dibuat selepas mendapat titah perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Menurut beliau, Menteri Besar tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Negeri sesuka hati kerana proses tersebut perlu mengikut peruntukan undang-undang negeri dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan.

“Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor kepada rakyat secara terbuka.

“Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” katanya.

Beliau turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mewujudkan persepsi seolah-olah Institusi Diraja mencampuri urusan politik UMNO Johor.

Katanya, Datuk Dr Mohd Puad berhak meninggalkan UMNO dan mempunyai perbezaan pandangan dengan kepimpinan parti, namun kenyataan berkaitan Institusi Diraja adalah perkara serius.

“Pernyataan sedemikian berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan Institusi Diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam,” ujarnya.

Sehubungan itu, UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan pihak berkuasa.

Onn Hafiz turut menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik.

Kongsi pada platform lain