SEREMBAN, 23 September 2026 – Pemuda UMNO Negeri Sembilan menuntut Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Zafir Ibrahim, memberikan penjelasan berhubung proses pewartaan Proklamasi 19 April 2026 yang sebelum ini diputuskan untuk dilaksanakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Sembilan berkata, penjelasan itu penting bagi memperincikan kronologi, asas perundangan serta pihak yang bertanggungjawab terhadap keputusan untuk tidak meneruskan proses pewartaan tersebut.
Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim mengesahkan MMKN telah membuat keputusan berhubung proklamasi berkenaan dan meminta proses pewartaan diteruskan.
Bagaimanapun, Pejabat SUK pada 17 September memaklumkan kerajaan negeri tidak akan mengambil tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi tersebut selepas mengambil kira pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menyatakan proklamasi itu tidak sah dari sudut perlembagaan.
Menurut Pemuda UMNO Negeri Sembilan, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai bagaimana keputusan MMKN berhubung pewartaan tersebut diproses selepas mengambil kira pandangan perundangan.
“Jika benar MMKN telah membuat keputusan dan mengarahkan proses tersebut diteruskan, siapa yang menghentikannya? Atas kuasa siapa, arahan siapa dan atas asas undang-undang apa?” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pemuda UMNO turut menegaskan bahawa pandangan Jabatan Peguam Negara dan Penasihat Undang-Undang Negeri perlu dihormati, namun pada masa sama rakyat wajar diberikan penjelasan mengenai pertentangan antara keputusan MMKN dengan nasihat perundangan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, MMKN pada 22 September memutuskan untuk menggantung tugas Datuk Mohd Zafir serta Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal.
Bagaimanapun, AGC pada 22 September menyatakan MMKN tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas penyandang kedua-dua jawatan berkenaan, dengan perkara berkaitan pelantikan serta penggantungan tertakluk kepada bidang kuasa suruhanjaya perkhidmatan seperti diperuntukkan di bawah Perkara 37 UUTKNS 1959.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO Negeri Sembilan berkata penjelasan lanjut diperlukan bagi memastikan persoalan berkaitan proses pentadbiran, keputusan MMKN dan rantaian arahan dapat dijelaskan secara terbuka.
“Keputusan siapa? Arahan siapa? Atas kuasa apa?” tegas kenyataan itu.
