REMBAU, 25 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rembau menegaskan bahawa kestabilan politik dan pengalaman pentadbiran terus menjadi kekuatan utama Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi landskap politik semasa yang semakin mencabar.

Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi mereka, Pemuda UMNO Rembau berkata ketika parti-parti lain masih bergelut dengan konflik dalaman dan perebutan kepimpinan, BN memilih untuk terus fokus memperkukuhkan kekuatan demi masa depan rakyat.
Menurut kenyataan itu, rakyat kini semakin penat dengan drama politik yang berpanjangan dan mahukan sebuah gabungan yang lebih stabil, matang serta berpengalaman dalam mentadbir negara.
“Kestabilan bukan sekadar slogan, tetapi lahir daripada pengalaman, disiplin dan kesatuan dalam sesebuah parti,” menurut hantaran tersebut.
Mereka turut menyifatkan politik matang bukan diukur melalui siapa paling lantang bersuara, sebaliknya siapa yang mampu kekal stabil ketika negara memerlukan kepimpinan yang diyakini.
Dalam masa sama, Pemuda UMNO Rembau menegaskan BN akan terus memberi fokus kepada kerja serta kebajikan rakyat berbanding terlibat dalam pertelagahan politik yang tidak berkesudahan.
Hantaran berkenaan turut dilihat sebagai mesej bahawa BN mahu tampil sebagai pilihan yang lebih tenang dan stabil di tengah situasi politik semasa yang disifatkan semakin bercelaru.
