SEREMBAN, 23 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban mengadakan Mesyuarat Bilangan (3) bagi tahun 2026 di Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan sebagai persiapan menghadapi cabaran politik semasa termasuk kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Mesyuarat tersebut menghimpunkan barisan kepimpinan dan ahli Pemuda bagi membincangkan pelbagai pandangan serta gerak kerja organisasi demi memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera parti di peringkat bahagian.
Antara perkara yang menjadi fokus utama ialah persediaan menghadapi PRN serta komitmen Pemuda UMNO Seremban untuk mematuhi dan melaksanakan apa jua keputusan yang ditetapkan oleh pimpinan UMNO negeri dan pusat.
Menurut kenyataan yang dikongsikan, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban menegaskan mereka sentiasa bersedia dari segi gerak kerja, mobilisasi akar umbi dan penyelarasan jentera bagi memastikan parti berada dalam keadaan terbaik sekiranya PRN diadakan dalam masa terdekat.
Mereka turut berharap segala usaha dan perancangan yang dirangka dipermudahkan serta berjalan lancar demi memastikan kekuatan parti terus diperkasakan di Negeri Sembilan.
“Insyallah semoga Allah permudahkan cara kita,” menurut kenyataan tersebut.
