Kolum Penulis : Akwa Mahzan
“UMNO berpijak di atas lantai yang bergoyang dan ditembusi angin setelah melemahkan dasar Islam dan Melayunya, laksana rumah Melayu yang dicabut paku lantainya.” Demikian kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam mengulas kedudukan UMNO dalam landskap politik negara hari ini.

Kenyataan tersebut pastinya mengundang pelbagai reaksi, khususnya apabila UMNO turut dilabel sebagai parti yang hilang arah serta tenggelam dalam pengaruh parti lain di dalam kerajaan. Namun dalam suasana politik yang semakin matang, perbezaan pandangan seharusnya diraikan dengan ruang musyawarah dan saling menghormati, bukannya terus memperbesarkan jurang yang sedia ada.
Realitinya, politik Malaysia sentiasa berubah mengikut keperluan semasa. UMNO memilih pendekatan yang lebih terbuka dalam membina hubungan dengan pelbagai pihak, selagi tidak menyentuh asas Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam, Melayu serta institusi Raja-Raja Melayu. Dalam masa yang sama, prinsip perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk juga perlu terus dipelihara.
Ketika UMNO berada di blok pembangkang antara tahun 2018 hingga 2020, kerjasama bersama PAS melalui Muafakat Nasional pernah membuka lembaran baharu dalam politik Melayu-Islam. Bahkan, UMNO turut menerima kerjasama bersama Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan demi kestabilan negara pada ketika itu. Namun seperti yang diketahui umum, dinamika politik akhirnya membawa haluan yang berbeza apabila kesepakatan tersebut tidak dapat diteruskan sepenuhnya.
Dalam konteks hari ini, tidak wajar mana-mana pihak dilihat terlalu mudah menuding soal pengkhianatan kerana hampir semua parti politik pernah melalui fasa kerjasama dan perbezaan pendirian. PAS sendiri bersama pelbagai gabungan sebelum ini, sebagaimana UMNO juga mengambil pendekatan bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik dan ekonomi negara.
Apa yang lebih penting ialah kesediaan untuk kembali kepada meja rundingan. UMNO tidak pernah menutup pintu perbincangan, termasuk dalam soal penyatuan ummah dan agenda rumah bangsa. Namun setiap kerjasama perlu dibina atas dasar keikhlasan, saling menghormati dan kesediaan untuk bergerak sebagai rakan, bukan sekadar ketika mempunyai kepentingan politik tertentu.
Politik yang matang bukan tentang siapa paling keras menyerang, tetapi siapa paling bersedia mencari titik damai demi rakyat dan masa depan negara.
