ISU SEMASA
• Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. • Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. • Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. • Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

Penantian 11 Tahun Berakhir, Bangunan Tambahan SJKT St. Heliar Siap Sepenuhnya

1–2 minutes

JEMPOL, 2 Julai – Penantian selama 11 tahun bagi menyiapkan bangunan tambahan di SJKT St. Heliar akhirnya berakhir apabila projek yang sekian lama terbengkalai itu kini siap sepenuhnya dan sedia digunakan oleh warga sekolah.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Dato’ Haji Mohd Zaidy Abdul Kadir, berkata projek tersebut disiapkan menerusi peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif kepada murid serta warga pendidik.

Menurut beliau, isu berkenaan telah lama diperjuangkan termasuk dibangkitkan olehnya ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan pada 25 November 2024 bagi mendesak tindakan segera daripada pihak berkaitan.

Katanya, sebelum itu Ahli Parlimen Jempol, Dato’ Haji Shamshulkahar Md Deli, turut membawa isu sama ke Dewan Rakyat pada 28 Mac 2023, sekali gus menunjukkan usaha berterusan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk memastikan projek berkenaan dapat disiapkan.

“Alhamdulillah, hasil usaha berterusan serta kerjasama semua pihak, penantian selama 11 tahun akhirnya berakhir,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri, pihak sekolah, Dato’ Haji Shamshulkahar Md Deli, kepimpinan Kerajaan Perpaduan serta semua agensi yang terlibat dalam merealisasikan projek berkenaan.

Mohd Zaidy berkata, tanggungjawab sebagai wakil rakyat bukan sekadar menabur janji, sebaliknya memastikan setiap isu yang dihadapi masyarakat diberikan perhatian sehingga berjaya diselesaikan demi kepentingan rakyat.

Kongsi pada platform lain