KUALA LUMPUR, 23 Mei – Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan ahli politik yang “tergelincir” daripada perjuangan asal sebagai golongan paling kuat mengeluh mengenai isu kenaikan kos sara hidup berbanding peniaga kecil.
Menurut beliau, hasil tinjauan di lapangan mendapati majoriti peniaga kecil masih bersyukur dengan bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan walaupun berdepan cabaran ekonomi semasa.
“Yang besar-besar je yang banyak mengeluh dan yang mengeluh paling kuat orang-orang politik yang sudah tergelincir,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Tinjauan Peniaga Kecil di Pasar Tani Taman Melawati, pada Sabtu.
Anwar berkata, kebanyakan peniaga kecil yang ditemuinya menghargai bantuan pembiayaan mikro termasuk pinjaman sekitar RM10,000 yang disalurkan melalui agensi kerajaan.
Terdahulu, beliau meluangkan masa hampir dua jam menyantuni penjaja dan usahawan kecil di kawasan berkenaan.
Pada 17 Mei lalu, Kerajaan Madani mengumumkan kemudahan pembiayaan mikro melebihi RM5 bilion bagi tahun 2026 yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 usahawan mikro di seluruh negara.
Kemudahan itu melibatkan pinjaman sehingga RM100,000 dengan kadar pembiayaan bagi skim tertentu serendah empat peratus setahun. – SinarHarian
