ISU SEMASA
Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

PMX mahu Tengku Zafrul Pantau Parlimen Pandan

1–2 minutes

KUALA LUMPUR, 24 Mei — Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini mengambil tanggungjawab sebagai “Parlimen angkat” bagi kawasan Pandan susulan peletakan jawatan dua pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat baru-baru ini.

Perkara itu diumumkan Naib Presiden PKR Amirudin Shari ketika berucap pada Himpunan Setia Keadilan Pandan malam tadi.

Menurut beliau, Tengku Zafrul Abdul Aziz turut diberi tanggungjawab sebagai pegawai pemantau PKR bagi Parlimen Pandan dan Ampang bagi menyusun semula gerak kerja parti serta operasi pusat khidmat di kawasan berkenaan.

Amirudin berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan pentadbiran dan jentera parti terus berjalan lancar selepas pengunduran beberapa pemimpin utama daripada PKR.

“Jadi kita aturkan Tengku Zafrul sebagai wakil kerajaan dan juga wakil Perdana Menteri di kawasan Pandan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pelantikan Tengku Zafrul dibuat atas permintaan Anwar sendiri yang mahu bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu lebih aktif dalam landskap politik Selangor.

Dalam ucapannya, Amirudin menegaskan situasi tersebut bukan perkara baharu bagi PKR kerana parti itu pernah berdepan cabaran sama melibatkan bekas pemimpin seperti Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

Katanya, pengalaman lalu membuktikan parti masih mampu memperkukuh sokongan rakyat walaupun berlaku perubahan kepimpinan di sesuatu kawasan.

Pada 17 Mei lalu, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebelum keluar daripada PKR sehari kemudian.

Sementara itu, Tengku Zafrul dalam ucapannya meminta sokongan penuh pimpinan serta akar umbi PKR di Pandan dan Ampang bagi memastikan gerak kerja parti dapat diperkasakan.

Beliau berjanji akan turun padang menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan fahaman politik.

“Saya akan cuba sedaya upaya mengetuk setiap rumah rakyat yang memerlukan pertolongan tanpa memilih latar belakang, agama mahupun warna kulit,” katanya. – AstroAwani

Kongsi pada platform lain