JEMPOL, 20 Jun – Isu projek tangki bekalan air yang terbengkalai di FELDA Palong 2 kini menemui jalan penyelesaian apabila kerja-kerja tersebut telah dibuka untuk tender bagi membolehkan projek berkenaan diteruskan.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha membawa pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat, khususnya dalam memastikan kemudahan asas bekalan air dapat disediakan dengan lebih cekap dan selamat.
Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Dato’ Haji Mohd Zaidy bin Abdul Kadir, lawatan tapak kontraktor telah dilaksanakan pada 18 Jun 2026 sebagai langkah awal sebelum proses pelaksanaan kerja bermula.
Projek tangki tersebut dijangka memberi manfaat kepada penduduk FELDA Palong 2 melalui peningkatan sistem bekalan air bersih, selain membantu memastikan kemudahan utiliti di kawasan berkenaan lebih teratur.
“Usaha menyelesaikan projek yang tertangguh ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan untuk membawa pembangunan yang memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur asas seperti bekalan air perlu diberi keutamaan kerana ia menyentuh keperluan harian masyarakat.
Dengan pembukaan tender ini, penduduk FELDA Palong 2 kini menantikan pelaksanaan projek tersebut yang diharap dapat menjadi satu lagi langkah ke arah meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat.
