KUALA LUMPUR, 21 Mei – Isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah Mansor berkongsi beberapa foto kenangan bersama pemimpin tertinggi dunia Arab menerusi hantaran di Facebook miliknya, malam tadi.
Menerusi perkongsian tersebut, Rosmah memuat naik gambar ketika menghadiri beberapa pertemuan rasmi di Riyadh dan Putrajaya yang melibatkan Salman bin Abdulaziz Al Saud, Mohammed bin Salman serta Mohamed bin Zayed Al Nahyan.
Dalam kapsyen yang ditulis, beliau menyifatkan momen tersebut sebagai simbol hubungan persahabatan erat dan kerjasama kukuh antara Malaysia dengan negara-negara Asia Barat.
“Throwback to meaningful engagements in Riyadh and Putrajaya — with His Majesty King Salman, Crown Prince Mohammed bin Salman, and His Highness Sheikh Mohamed bin Zayed.
“Moments that reflect enduring friendships and strong ties between our nations,” tulisnya.
Rosmah turut meluahkan rasa syukur dan terharu kerana sentiasa diberikan penghormatan untuk turut serta dalam pertemuan-pertemuan berprofil tinggi itu sepanjang tempoh pentadbiran terdahulu.
“Alhamdulillah, I felt very honoured to have always been included and invited on those occasions and very well-received by His Majesties,” katanya lagi.
Perkongsian itu menarik perhatian warga maya yang membanjiri ruangan komen dengan pelbagai reaksi, termasuk mengimbau kembali hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara Teluk ketika era pentadbiran terdahulu.
