PETALING JAYA, 17 Jun – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk terus kekal dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu malam ini.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dibuat kerana Bersatu merupakan antara parti pengasas PN dan perlu terus berada dalam gabungan tersebut.
“Bersatu akan terus kekal dalam PN sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat malam ini,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat MPT Bersatu.
Beliau turut menegaskan Bersatu tidak boleh disingkirkan secara unilateral dan keputusan tersebut tidak boleh dibuat hanya berdasarkan pendirian satu parti sahaja.
Mengulas persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, Muhyiddin berkata Bersatu akan menggunakan logo PN serta telah mengenal pasti kawasan dan calon yang berpotensi untuk bertanding.
Menurutnya, persiapan parti itu telah digerakkan sejak lebih sebulan lalu dengan lawatan ke kawasan-kawasan yang dikenal pasti.
Katanya, Bersatu juga tidak mempunyai masalah sekiranya berlaku pertembungan kerusi dengan Pas dalam kedua-dua PRN tersebut.
“Bersatu okey kalau berlaku pertindihan kerusi di PRN Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.
