JEMPOL, 25 Mei — ADUN Jeram Padang meneruskan tradisi tahunan apabila menyampaikan sumbangan lembu korban kepada 6 masjid dan sebuah surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Program penyerahan tersebut diadakan sebagai usaha membantu pihak masjid dan surau melaksanakan ibadah korban serta mengeratkan hubungan bersama masyarakat setempat.
Menurut beliau, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan untuk memastikan kebajikan rakyat dan institusi agama di kawasan berkenaan terus diberi perhatian.
“Semoga sumbangan ini dapat membantu melancarkan urusan ibadah korban serta memberi manfaat kepada penduduk setempat, khususnya golongan yang memerlukan,” katanya.
Beliau turut berharap semangat pengorbanan dan kebersamaan yang dibawa melalui sambutan Aidiladha dapat terus memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Wakil masjid dan surau yang menerima sumbangan turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan dan sokongan berterusan yang diberikan kepada institusi keagamaan di kawasan Jeram Padang.
