KUALA LUMPUR, 20 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegur tindakan seorang individu yang didakwa mempersenda titah Sultan, sambil menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak beradab terhadap Institusi Raja-Raja Melayu.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, beliau menegaskan bahawa memahami Perlembagaan tidak seharusnya disalahgunakan untuk merendah-rendahkan kedudukan institusi diraja dalam negara.
“Konon celik Perlembagaan, tetapi dangkal adab terhadap Institusi Raja. Bila titah Sultan dipersenda, itu bukan kebebasan bersuara, itu biadab,” katanya.
Beliau turut menyindir sikap tersebut dengan menyifatkan individu berkenaan seperti “kaduk naik junjung” yang digambarkan sebagai lupa adab dan batas dalam menyuarakan pandangan.
Kenyataan itu turut menegaskan pendirian UMNO yang terus menjunjung Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kestabilan negara.
Sementara itu, nama Tony Pua turut dikaitkan dalam perbincangan awam berhubung isu tersebut, selepas kenyataannya sebelum ini mengenai sistem Raja Berperlembagaan kembali menjadi perhatian dan mencetuskan reaksi pelbagai pihak.
UMNO dalam masa sama menegaskan sokongan berterusan terhadap Institusi Diraja dan menyeru semua pihak menjaga adab serta sensitiviti dalam memberi pandangan berkaitan Perlembagaan dan Raja-Raja Melayu.
