JELEBU, 6 Jun – UMNO Negeri Sembilan sudah memuktamadkan senarai calon yang bakal ditampilkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Pengerusinya, Jalaluddin Alias berkata, senarai tersebut merangkumi gabungan muka lama dan muka baharu termasuk golongan muda serta wanita yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan dan pengalaman.
Menurut beliau, senarai nama berkenaan akan diserahkan kepada Ahmad Zahid Hamidi untuk diperhalusi sebelum mendapat persetujuan akhir.
“Barisan Nasional akan bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan. Agihan kerusi juga akan melibatkan parti komponen MCA dan MIC.
“Bagaimanapun, pembahagian kerusi tersebut akan diputuskan dalam satu mesyuarat yang akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perkahwinan Lapan Pasangan Pengantin Serentak di Masjid Dato’ Undang Luak Jelebu, hari ini.
Perkembangan itu dilihat sebagai petanda bahawa jentera BN Negeri Sembilan kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi PRN Ke-16 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri baru-baru ini. Dengan senarai calon yang sudah tersedia, fokus parti kini tertumpu kepada proses pemuktamadan calon dan penyusunan strategi pilihan raya.
