UMNO menegaskan komitmennya untuk terus mendokong Kerajaan Perpaduan Malaysia sehingga tamat penggal Parlimen, selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Pada masa sama, UMNO menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor dibentuk sebelum penubuhan Kerajaan Perpaduan Malaysia dan tidak tertakluk kepada sebarang perjanjian kerjasama yang dibuat di peringkat Persekutuan.
Parti itu turut menegaskan haknya untuk menentukan pendirian serta hala tuju politik menjelang mana-mana pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Menurut UMNO, keputusan untuk mempertahankan mandat negeri melalui pilihan raya bukanlah satu bentuk pengkhianatan terhadap Kerajaan Persekutuan, sebaliknya merupakan amalan demokrasi yang sah dan menghormati hak rakyat untuk membuat pilihan.
Dalam pada itu, UMNO menyatakan keterbukaannya untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak demi menjamin kestabilan politik negara dan kesejahteraan rakyat, dengan syarat kerjasama tersebut berasaskan keikhlasan serta kepercayaan bersama.
