KUALA LUMPUR, 2 Jun – UMNOSiswa Malaysia menggesa semua pihak agar tidak terburu-buru membentuk persepsi atau menjatuhkan hukuman moral terhadap mana-mana individu berhubung insiden yang didakwa melibatkan cucu kepada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, UMNOSiswa menegaskan bahawa sebarang bentuk kekerasan perlu disiasat secara serius, namun setiap individu berhak mendapat layanan yang adil dan perlindungan di bawah undang-undang tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik.
Menurut kenyataan itu, amalan “perbicaraan media sosial” serta penyebaran maklumat yang belum disahkan hanya akan mengeruhkan keadaan dan berpotensi menjejaskan proses keadilan. UMNOSiswa turut menyeru agar ruang diberikan kepada Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan secara bebas, profesional dan telus sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Mereka juga memberi peringatan bahawa jika isu berkenaan digunakan untuk berniat jahat atau merosakkan reputasi seseorang tanpa fakta yang sahih, tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut saluran undang-undang.


