ISU SEMASA
• Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. • Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. • Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. • Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

Undang Yang Empat Tegaskan Keputusan 19 April Kekal Sah, Anggap Tiada Krisis Takhta

1–2 minutes

SEREMBAN, 2 Oktober – Undang Yang Empat Negeri Sembilan menegaskan kedudukan mereka kekal sah menurut adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), selain mempertahankan keputusan menurunkan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 19 April 2026.

Dalam kenyataan rasmi 12 halaman yang dikeluarkan hari ini, mereka menyifatkan kemelut berpanjangan di Negeri Sembilan sebagai “krisis keingkaran”, dengan pendirian bahawa persoalan takhta telah diputuskan melalui Perkara 10 dan 11 UUTKNS. Kenyataan itu turut menyatakan Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 pada tarikh sama.

Undang Yang Empat turut menegaskan Dato’ Haji Mubarak bin Thahak dan Dato’ Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin kekal sebagai Undang Luak Sungei Ujong dan Rembau yang sah, serta mempertikaikan penggantian kedua-duanya selepas 20 Jun lalu.

Menurut kenyataan itu, proses “enquiry” di bawah Perkara 10 telah dijalankan pada 5 Mac 2026 sebelum keputusan dibuat pada 19 April, manakala proklamasi berhubung penurunan takhta dikatakan disempurnakan dari sudut pentadbiran selepas Menteri Besar, Dato’ Haji Ismail Lasim, menandatanganinya pada 3 Ogos. Dakwaan mengenai tandatangan tersebut sebelum ini turut dilaporkan, termasuk pendirian Ismail bahawa beliau menandatangani dokumen itu di bawah tekanan.

Undang Yang Empat juga berhujah bahawa sistem Raja majmuk Negeri Sembilan, sebagaimana tafsiran mereka terhadap UUTKNS dan adat negeri, memerlukan keseimbangan antara Yang di-Pertuan Besar dan Pembesar Memerintah dalam perkara tertentu. Mereka memberi amaran bahawa pertikaian berterusan boleh menimbulkan kekeliruan dalam pentadbiran negeri, termasuk pelaksanaan arahan, pelantikan, urusan Dewan Undangan Negeri serta hubungan dengan Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, kerajaan negeri sebelum ini turut mengambil pendirian bahawa proklamasi 19 April adalah sah dan Tunku Nadzaruddin wajar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.

Undang Yang Empat akhirnya menyeru semua pihak supaya menghormati adat dan UUTKNS serta meminta rakyat kekal tenang dan memelihara perpaduan Negeri Sembilan.

Kenyataan Media 12 halaman tersebut mengemukakan pendirian dakwaan dan tafsiran perlembagaan pihak Undang Yang Empat.

Kongsi pada platform lain