KUALA LUMPUR, 28 Mei – Wanita MCA menyokong cadangan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggubal semula prosedur operasi standard (SOP) serta prosedur pengendalian kes melibatkan guru yang dikaitkan dengan dakwaan pedofilia, amang seksual, cabul dan kesalahan seksual lain.
Ketua Wanita MCA, Datuk Wong You Fong berkata, sistem pendidikan negara perlu memastikan keselamatan murid sentiasa menjadi keutamaan serta setiap kes melibatkan ancaman seksual di sekolah ditangani secara tegas dan berhemah.
Menurut beliau, guru yang sedang disiasat atau mempunyai kes berkaitan keselamatan seksual murid tidak sepatutnya ditempatkan di mana-mana sekolah sepanjang tempoh siasatan dijalankan.
“Sebaliknya, mereka boleh ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau lokasi lain yang tidak melibatkan murid.
“Tindakan memindahkan guru berkenaan ke sekolah lain hanya membuka ruang kepada lebih ramai murid berpotensi menjadi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa KPM perlu memperketatkan mekanisme pemantauan dan tindakan disiplin terhadap kes melibatkan keselamatan murid bagi memastikan keyakinan ibu bapa terhadap institusi pendidikan terus terpelihara.
Tambah beliau, langkah pencegahan yang lebih sistematik dan telus amat penting demi melindungi kesejahteraan pelajar serta memastikan sekolah kekal sebagai tempat yang selamat untuk semua.
