ISU SEMASA
• Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. • Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. • Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. • Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

Wujud Cubaan Tutup Rezeki 200 Peniaga, Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir Perlu Diteruskan

1–2 minutes

BANDA HILIR, 10 Oktober – Hasrat untuk menghentikan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir dibimbangi menjejaskan sumber rezeki kira-kira 200 peniaga yang bergantung kepada kehadiran pelancong dan pengunjung di kawasan itu.

Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Melayu Pahlawan Walk Melaka, Rahim Abu Said berkata, inisiatif yang dilaksanakan sejak lebih tiga tahun lalu itu terbukti membantu meningkatkan hasil jualan peniaga, khususnya pada hujung minggu dari Jumaat hingga Ahad.

Menurutnya, majoriti peniaga termasuk di kawasan Bangunan Merah mahu inisiatif itu diteruskan kerana memberikan manfaat kepada perniagaan tempatan, sekali gus merancakkan ekonomi masyarakat Melayu.

Beliau yang sudah 17 tahun berniaga di kawasan berkenaan menegaskan, isu Zon Bebas Kenderaan tidak sepatutnya dipolitikkan sehingga mengabaikan nasib peniaga yang mencari rezeki secara halal.

“Kami hanya mahu berniaga. Selepas lebih tiga tahun pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir, sepatutnya tiada isu atau desakan yang mahu inisiatif itu dihentikan,” katanya.

Rahim berkata, ketiadaan kenderaan membolehkan pengunjung menikmati suasana malam dengan lebih selesa bersama keluarga, sekali gus menjadikan kawasan sekitar Bangunan Stadthuys hingga Uptown Pahlawan Walk lebih mesra pelancong.

Malah, katanya, peniaga turut mengharapkan lebih banyak program anjuran kerajaan negeri, termasuk Melaka Bila Larut Malam, kerana penganjuran acara sedemikian mampu menarik lebih ramai pengunjung dan meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau berkata, permintaan peniaga supaya tempoh Zon Bebas Kenderaan dilanjutkan ketika cuti umum juga membuktikan bahawa inisiatif itu mempunyai nilai ekonomi kepada golongan berkenaan.

Persoalannya, jika inisiatif ini terbukti membantu perniagaan dan menjadi sumber rezeki ratusan peniaga, mengapa ia perlu dihentikan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan pendapatan mereka?

Bagi peniaga, keutamaan mereka jelas: peluang mencari rezeki perlu dipertahankan dan sebarang keputusan berkaitan Zon Bebas Kenderaan wajar mengambil kira suara serta kepentingan mereka yang terkesan secara langsung.

Kongsi pada platform lain