KUALA LUMPUR, 2 Jun – Barisan Nasional (BN) sedang meneliti senarai calon yang bakal diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk mempertimbangkan penyertaan lebih ramai calon muda dan muka baharu bagi memenuhi aspirasi pengundi semasa.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, proses pemilihan calon kini masih berada pada peringkat penilaian dan penelitian oleh kepimpinan parti.
“Calon-calon dalam peringkat penilaian namun kita juga harus menghormati calon-calon yang datang (dikemukakan) daripada parti-parti komponen BN yang lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera (KEUB) 2026.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengesahkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan kekal sebagai ‘poster boy’ BN pada PRN kali ini.
Menurut Ahmad Zahid, BN meletakkan sasaran untuk memenangi lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus mengatasi pencapaian pada pilihan raya negeri 2022.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kemenangan tidak akan datang dengan mudah tanpa kerja keras, strategi yang berkesan serta kekuatan jentera parti yang tersusun.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan bahawa komposisi pengundi muda yang semakin besar perlu diberi perhatian dalam pemilihan calon.
“Bagi saya, antara ukuran terbesar pada hari ini ialah pengundi muda. Di Pengerang sahaja, statistik menunjukkan lambakan pengundi muda adalah sekitar 40 peratus.
“Ini mungkin menjadi asas penting untuk menentukan kehadiran lebih banyak muka baharu atau calon muda. Kebiasaannya, kerusi DUN memang dilihat sebagai platform terbaik untuk mengetengahkan bakat-bakat muda ini,” katanya.
Dalam pada itu, Azalina turut menyeru agar kempen pilihan raya dijalankan dalam suasana yang matang dan berlandaskan prinsip demokrasi.
“Saya nak tekankan kalau boleh kita kena tekankan banyak pada elemen demokrasi. Janganlah ada kekasaran atau wujud masalah dan sebagainya. Jadi dari segi undang-undang kita kena tahu adab kita dalam pilihan raya,” ujarnya.
Mengenai senarai calon, beliau berkata keputusan akhir bergantung kepada penilaian Biro Politik dan BN Johor yang mempunyai kayu ukur tersendiri dalam menentukan calon terbaik untuk bertanding
