KUALA LUMPUR, 9 Jun – PAS secara rasmi mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan BERSATU selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung pada Isnin.
Dalam kenyataan yang ditandatangani Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, parti itu memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak bertarikh 2 Jun 2026 yang menilai aspek dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik berasaskan prinsip penyatuan ummah.
PAS turut memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU serta meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Selain itu, PAS juga memaklumkan kesediaan menerima penyertaan tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat yang berminat menyertai parti itu.
Keputusan tersebut diumumkan menerusi kenyataan bertemakan “Kembali Kepada Penyelesaian Islam” yang dikeluarkan pada 8 Jun 2026.
