ISU SEMASA
Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

Majoriti Tipis,Sentimen Melayu & Krisis Diraja Bakal Uji Kekuatan UMNO Di Negeri Sembilan

2–3 minutes

Seremban, 11 Jun — UMNO dijangka berdepan laluan sukar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan susulan kemenangan dengan majoriti tipis di beberapa kawasan pada PRN 2023 selain perubahan sentimen pengundi Melayu selepas krisis diraja yang berlaku baru-baru ini.

Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Shukri berkata UMNO kini dilihat lebih terdedah berbanding rakan dalam kerajaan perpaduan, Pakatan Harapan (PH), ekoran saingan sengit daripada Perikatan Nasional (PN) dalam merebut undi Melayu.

Menurut beliau, keputusan PRN 2023 menunjukkan beberapa kerusi BN dimenangi dengan majoriti yang sangat kecil, menjadikan kedudukan parti itu mudah terjejas sekiranya berlaku perubahan sokongan pengundi.

“UMNO menghadapi masalah. Majoriti dimenangi mereka sebelum ini kecil kerana berdepan saingan sengit PN untuk undi Melayu,” katanya.

Berbeza dengan BN, Syaza berkata PH berada dalam kedudukan lebih baik untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRN lalu kerana kebanyakan kemenangan mereka dicapai dengan majoriti besar, khususnya melibatkan kerusi yang dimenangi DAP.

Pada PRN Negeri Sembilan 2023, PH memenangi 17 kerusi manakala BN memperoleh 14 kerusi. PN pula menang lima kerusi terdiri daripada tiga kerusi PAS dan dua kerusi Bersatu.

Bagaimanapun, sebahagian besar kerusi BN dimenangi dengan margin tipis. Antara kerusi yang mencatat kemenangan kecil ialah Juasseh dengan majoriti 78 undi, Kota (135 undi), Seri Menanti (370 undi), Sungai Lui (535 undi), Palong (564 undi), Senaling (662 undi) dan Lenggeng (685 undi).

Sementara itu, hanya dua kerusi PH dimenangi dengan majoriti rendah iaitu Ampangan dengan 329 undi dan Klawang dengan 577 undi.

Situasi itu menjadikan kawasan majoriti Melayu sebagai medan utama persaingan pada PRN akan datang. Daripada 36 kerusi DUN Negeri Sembilan, sebanyak 24 kerusi mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Syaza turut berpandangan isu krisis diraja Negeri Sembilan yang melibatkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berpotensi memberi kesan kepada sokongan terhadap UMNO.

Beliau berkata, terdapat persepsi dalam kalangan sebahagian pengundi bahawa UMNO memainkan peranan dalam kemelut berkenaan, sekali gus boleh mencetuskan reaksi penolakan.

“Rakyat tidak senang dengan krisis itu dan menyalahkan UMNO. Jadi pengundi akan mahu menghukum UMNO,” katanya.

Penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali pula berkata pertikaian tersebut telah mencetuskan simpati rakyat Negeri Sembilan terhadap Tuanku Muhriz.

Menurutnya, persepsi bahawa UMNO tidak mesra dengan institusi diraja boleh memberi tekanan kepada parti itu ketika menghadapi PRN.

Namun, penganalisis Ilham Centre, Hisommudin Bakar berpandangan keputusan PRN nanti banyak bergantung kepada kadar keluar mengundi serta keupayaan parti menggerakkan penyokong.

Katanya, PH mempunyai kekuatan di kawasan bandar serta kawasan majoriti Cina dan campuran, manakala BN masih mempunyai rangkaian akar umbi yang kukuh di kawasan Melayu.

Beliau berkata, pertandingan tiga penjuru di 24 kerusi majoriti Melayu bakal menjadi penentu utama kepada keputusan PRN.

“Keupayaan kedua-dua pakatan mengurus strategi kempen, menggerakkan pengundi dan memenangi hati pengundi atas pagar akan menjadi faktor utama,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Sivamurugan Pandian menyifatkan PH masih mempunyai kelebihan kerana statusnya sebagai penyandang di beberapa kawasan.

PRN Negeri Sembilan dijangka menjadi medan penting yang menguji kekuatan BN selepas memilih untuk bertanding secara solo, selain menguji kemampuan PH mempertahankan pengaruh politiknya selepas kerjasama kerajaan perpaduan sebelum ini. – FMT

Kongsi pada platform lain